Utama > Guru - Cikgu - Mu'alim, Kurikulum > Dilema guru, PBS dan SPPBS – Mohd Solihin Che Rozali

Dilema guru, PBS dan SPPBS – Mohd Solihin Che Rozali

January 22, 2014

PBS atau lebih dikenali sebagai Pentaksiran Berasaskan Sekolah, merupakan satu pentaksiran yang menyeluruh dan holistik.

Ini kerana ia memberi penekanan dari aspek JERI iaitu Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Ia juga mentaksir dan menilai bidang akademik dan bukan akademik berbanding dengan pentaksiran sedia ada yang lebih memberi tumpuan kepada pencapaian akademik melalui peperiksaan.

Bagaimana ia berlangsung? Teruskan bacaan anda!

PBS akan mentaksir proses dan produk secara formatif dan sumatif dengan mengamalkan konsep ‘assessment for learning’ dan ‘assessment of learning’, sementara fokus utama pentaksiran sedia ada lebih kepada pencapaian murid di akhir pembelajaran.

PBS dikendalikan oleh pihak sekolah dan dilaksanakan secara terancang mengikut prosedur yang digariskan oleh lembaga peperiksaan, dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

PBS mempunyai beberapa tujuan yang baik, seperti menilai potensi pelajar, memantau pertumbuhan dan meningkatkan potensi murid, serta membuat laporan bermakna tentang pembelajaran individu.

Konsep PBS ini bukanlah satu bentuk pembaharuan dalam sistem pendidikan di negara kita, kerana pentaksirannya seakan-akan sama dengan apa yang dilaksanakan di sekolah selama ini, iaitu dengan memberikan kerja rumah, kuiz, soal-jawab, projek dan lain-lain.

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia, PBS merupakan penambahbaikan kepada PBS yang sedia ada dengan memperkenalkan pentaksiran merujuk standard dan aplikasi Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah, atau lebih dikenali dengan SPPBS.

Walau bagaimanapun, SPPBS sudah hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini, bukan sahaja di kalangan guru dan pendidik, malah seluruh warga Malaysia.

Sudah tentu rungutan sebegini akan membingitkan telinga pihak yang tidak memahami kesusahan sebenar yang dialami pendidik masa kini.

Kalau kita fikirkan sejenak, biasanya para guru cukup gembira dengan pelbagai percutian am di negara kita.

Ini kerana mereka mempunyai masa untuk merehatkan mental dan fizikal dan meluangkan banyak masa bersama keluarga dan anak-anak.

Akan tetapi, kali ini suasana tersebut menjadi suram kerana ramai di kalangan mereka yang tertekan dengan sistem baru SPPBS ini.

Benar, sistem ini diperkenalkan oleh kementerian setelah beberapa kali perbincangan.

Benar, sistem ini dilaksanakan setelah mengkaji dan mengambil kira kebaikannya kepada guru, murid dan sistem pendidikan negara.

Benar, sistem ini mempunyai objektif yang baik dalam transformasi sistem pendidikan negara kita bagi menghasilkan modal insan yang bertaraf dunia.

Tetapi, apakah pihak kementerian mengambil kira jika sistem ini benar-benar diterima oleh para guru?

Persoalan ini seharusnya diteliti dan dikaji terlebih dahulu sebelum diputuskan.

Saya merasakan majoriti daripada guru di Malaysia sangat tidak bersetuju dengan sistem yang diperkenalkan sehingga wujud pelbagai rungutan dan kritikan di media sosial seperti laman Facebook ‘Kami Mahu SPPBS Dimansuhkan”.

Malah ada juga sesetengah pihak yang ingin mengadakan perhimpunan aman dalam waktu yang terdekat ini bagi membantah sistem ini daripada terus diguna pakai.

Apakah kurangnya dengan sistem ini? Apakah yang menyebabkan para guru sangat tidak bersetuju dengan sistem ini? Di manakah lemahnya?

Lemahnya sudah pasti bukan di tujuannya, tetapi di penggunaan sistem kemasukan data.

Sistem pengkalan data PBS yang lemah menyebabkan guru terpaksa memasukkan data pada waktu malam.

Akibatnya, pada waktu pagi guru mengantuk dan menyebabkan mutu pengajar menjadi lemah.

Sementara itu, murid pula tidak mendapat pembelajaran yang sempurna dan sepatutnya. Ini kerana kebanyakan masa guru dihabiskan dalam tugas kerani, bukan pada tugasnya yang sebenar.

Bukan itu sahaja, guru juga perlu mengurus fail pelajar yang mungkin mencecah ribuan dan puluhan unit almari serta memasukkan ratusan band dan data ke dalam sistem secara online.

Bayangkan bagaimana jika Internet sukar didapati di kawasan pedalaman dan kampung-kampung?

Bayangkan bagaimana ratusan ribu guru ingin memasukkan data dalam satu server yang sama?

Bayangkan bagaimana susah dan tertekannya guru jika Internet bermasalah?

Bayangkan bagaimana perasan para guru jika data yang dimasukkan tiba-tiba hilang?

Maka, banyak persoalan yang akan timbul dan berlegar di ruang minda para guru.

Siapakah yang membangunkan sistem ini? Bagaimana mungkin kerajaan boleh melaksanakan sistem ini sebelum ianya mesra pengguna? Bilakah mutu sistem ini akan dipertingkatkan? Dan pelbagai persoalan lagi.

Ini yang menimbulkan kemarahan para guru dan melahirkan rasa kekecewaan dan rasa tidak puas hati kepada pihak kementerian.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa sistem ini berjaya di negara lain, tetapi apa yang dikatakan oleh ramai guru ialah sistem ini tidak mesra pengguna kerana sistemnya kerap tergendala sehingga menyebabkan guru tertekan dan terkejar-kejar.

Ada juga guru yang terpaksa bangun pada pukul 3.00 pagi semata-mata untuk memasukkan data.

Sistem Pengurusan PBS mungkin sesuai di negara lain, tetapi belum tentu sesuai dengan negara kita.

Jadi, saya berharap agar isu sebegini ditangani dengan segera oleh pihak yang terlibat.

Jika kerajaan mahu meneruskan juga penggunaan sistem ini, maka kerajaan seharusnya membaiki dan meningkatkan mutu sistemnya supaya para guru tidak lagi tertekan dan terbeban, kerana mereka juga insan seperti kita.

Tugas mendidik adalah satu tugas yang mulia. Jasa dan pengorbanan seseorang guru itu sukar untuk dibalas walau dengan segunung intan.

Tanpa guru siapalah kita, kerana gurulah yang mengajar kita mengenali erti kehidupan.

Justeru janganlah bebankan para guru dengan tugas-tugas yang tidak sepatutnya. – 21 Januari, 2014.

* Penulis ialah pelajar institut pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

____________________________________

Editor: Bayangkan SPPBS yang dikatakan dimansuhkan, wujud dalam bentuk offline dan pelbagai bentuk dimensi baru pentaksiran yang maha pelik. Pada pendapat admin, dimensi-dimensi ini hanya satu penipuan dan justifikasi untuk mengaburi medium sebenar sebagau orientasi peperiksaan. Contoh nyata—> UPRS masih dijalankan walau sebelum ini bakal dihapuskan. Contoh nyata lagi —> Bentuk baru peperiksaan diperkenalkan. Tahniah KPM.

  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: